PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

 

PERATURAN-PERATURAN LEMBAGA TATATERTIB PERKHIDMATAN
AWAM 1993
 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh Fasal (5B) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong membuat peraturan-peraturan yang berikut:

1.   Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada 15hb Disember 1993.

Nama dan mula
berkuatkuasa.

2.   (1)   Adalah dengan ini ditubuhkan Lembaga-Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam (setiap Lembaga kemudian daripada ini disebut sebagai "Lembaga Tatatertib") seperti yang dinyatakan dalam ruang 1 Jadual; dan setiap Lembaga Tatatertib hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang dinyatakan dalam ruang 4 Jadual.

Penubuhan
Lembaga
Tatatertib.

      (2)   Walau apa pun subperaturan (3), mana-mana anggota Lembaga Tatatertib (termasuklah Pengerusi) yang dinyatakan dalam ruang 4 Jadual yang menjadi pengadu dalam apa-apa prosiding tatatertib terhadap seseorang pegawai tidak boleh bersidang sebagai anggota atau Pengerusi Lembaga Tatatertib untuk mendengar kes terhadap pegawai itu.

      (3)   Ketua Setiausaha Negara boleh, atas sebab-sebab yang hendaklah direkodkan olehnya secara bertulis, menamakan mana-mana pegawai yang berpangkat lebih tinggi daripada pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib untuk menggantikan mana-mana anggota Lembaga Tatatertib yang dinyatakan dalam ruang 4 Jadual, kecuali anggota yang dilantik bagi maksud Peraturan-Peraturan ini.

      (4)   Kuorum bagi suatu mesyuarat Lembaga Tatatertib hendaklah terdiri daripada Pengerusi dan seorang anggota lain.

3.   (1)   Tertakluk kepada subperaturan (2) dan (3) peraturan ini dan kepada peraturan 5, Lembaga Tatatertib hendaklah mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan kelakuan dan tatatertib semua orang yang dinyatakan dalam ruang 2 Jadual yang menjadi anggota perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c) dan (f) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi Lembaga Tatatertib.

      (2)   Subperaturan (1) tidaklah terpakai berkenaan dengan pegawai yang memegang atau memangku jawatan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

      (3)   Lembaga Tatatertib yang dinyatakan dalam ruang 1 Jadual hendaklah mempunyai bidang kuasa yang dinyatakan dalam ruang 3 Jadual.


mukasurat 3