mana tiada undang-undang itu berkuatkuasa maka, jika peruntukan ada dibuat oleh undang-undang Persekutuan, bidangkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah diperluaskan supaya meliputi semua anggota perkhidmatan awam Negeri itu.

    (3) Apa-apa perluasan bidangkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dibuat oleh badan perundangan mana-mana Negeri menurut Fasal (2) boleh dibatalkan atau diubahsuai oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan Negeri itu.

    (4) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah mengandungi ahli-ahli yang berikut yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat  Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, iaitu, seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan tidak kurang daripada empat orang anggota lain; tetapi bilangan anggota lain itu tidaklah boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi tiga puluh orang.

    (5) Sama ada pengerusi atau timbalan pengerusi hendaklah, dan kedua-duanya boleh, dilantik dan antara orang-orang yang menjadi anggota mana-mana perhidmatan awam, atau yang telah pernah menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun sebelum sahaja tarikh mereka mula dilantik.

    (6) Seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam yang dilantik menjadi pengerusi atau timbalan pengerusi tidaklah berkelayakan untuk apa-apa perlantikan lagi dalam perkhidmatan Persekutuan melainkan sebagai seorang ahli bagi sesuatu Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian ini.

140.

Suruhanjaya Pasukan Polis.

    (1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pasukan Polis dan bidangkuasanya hendaklah meliputi semua orang yang menjadi anggota pasukan polis dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang ada, Suruhanjaya itu hendaklah bertanggungjawab bagi melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis:

    Dengan syarat bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang mengadakan peruntukan mengenai perjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana daripada anggota-anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara dan oleh mana-mana pihakberkuasa sebagaimana yang diperuntukan dalam undang-undang itu, dan dalam hal yang demikian, jika pihakberkuasa itu adalah lain daripada Suruhanjaya itu, kawalan tatatertib yang kena dijalankan oleh pihakberkuasa itu tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya itu; dan tiada apa-apa peruntukan undang-undang itu boleh menjadi tak sah oleh sebab ia berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini. 

    (2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi Suruhanjaya Pasukan Polis menjalankan tugas-tugas lain.


mukasurat 8