tingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya kehendak-kehendak Fasal ini tidaklah mustahak dijalankan; atau

(d)

di mana sesuatu perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau deportasi telah dibuat ke atas seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu atau di mana sesuatu bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota itu, di bawah mana-mana undang-undang berkaitan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang-negeri, imigresen, atau perlindungan bagi wanita dan gadis: 

    Dengan syarat selanjutnya bahawa bagi maksud Perkara ini, jika perkhidmatan seorang anggota perkhidmatan itu ditamatkan untuk kepentingan awam di bawah mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat oleh Yang diPertuan Agong di bawah Perkara 132 (2), penamatan perkhidmatan itu tidaklah bermakna buang kerja sama ada atau tidak keputusan menamatkan perkhidmatan itu berhubung dengan salah laku pegawai itu atau pelaksanaan tugas yang tidak memuaskan olehnya berkaitan dengan jawatannya atau akibat-akibat penamatan itu melibatkan suatu elemen hukuman; dan proviso ini hendaklah disifatkan sebagai sebahagian integral Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.

    (3) Dengan tiada persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (c), (f) atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa lain tindakan tatatertib kerana sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu tugas kehakiman yang diberi kepadanya oleh undang-undang.

136.

Layanan sama rata bagi pekerja-pekerja persekutuan.

Tertakluk kepada syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang dari apa-apa kaum jua pun dalam tingkat yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang sama rata.

137. Majlis Angkatan Tentera.

    (1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang akan bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang diPertuan Agong atas perintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain mengenainya, melainkan perkara-perkara berkenaan dengan menggunakan angkatan tentera bagi maksud gerakan.

    (2) Fasal (1) adalah berkuatkuasa tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mana-mana undang-undang persekutuan itu boleh membuat peruntukan bagi meletakkan apa-apa tugas mengenai angkatan tentera pada Majlis Angkatan Tentera.


mukasurat 5