PERINTAH-PERINTAH AM

Bab A

LANTIKAN DAN KENAIKAN PANGKAT

PENDAHULUAN

 

PERINTAH-PERINTAH Am Bab A Lantikan Dan Kenaikan Pangkat yang baru ini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perintah-perintah Am Bab A yang akan dipakai menggantikan Perintah-Perintah Am Bab A lama yang telah dikeluarkan pada 1hb Julai, 1958.

2.     Tarikh kuatkuasa Perintah-Perintah Am Bab A yang baru ini ialah 1hb Mei, 1973. Mulai dari tarikh kuatkuasa ini semua perkara-perkara yang berhubung dengan lantikan dan kenaikan pangkat akan diuruskan mengikut perbekalan-perbekalan yang berkenaan dalam Perintah-Perintah Am Bab A ini.

3.    Namun begitu, walau apapun perbekalan-perbekalan yang berlainan dalam Perintah-Perintah Am ini dengan Perintah-Perintah Am keluaran Tahun 1958 itu, segala keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum tarikh 1hb Mei, 1973 berdasarkan kepada Perintah-Perintah Am Tahun 1958 itu akan terus berkuatkuasa. Rayuan-rayuan atas sebarang perkara yang telah diputuskan sebelum tarikh 1hb Mei, 1973 dengan tujuan untuk mendapat faedah baru di bawah Perintah-Perintah Am 1973 ini tidak akan dilayan. Di mana masih ada rayuan-rayuan yang dibuat sebelum tarikh 1hb Mei, 1973 tetapi belum diputuskan sehingga ke tarikh 1hb Mei, 1973, akan diputuskan mengikut perbekalan-perbekalan yang berkenaan di dalam Perintah-Perintah Am Tahun 1958 seolah-olah Perintah-Perintah Am baru ini telah tidak dikuatkuasakan.

4.    Melainkan seperti pengecualian yang dinyatakan dalam perenggan 3 di atas, seluruh Perintah-Perintah Am Bab A Lantikan dan Kenaikan Pangkat, keluaran Tahun 1958, adalah dengan ini dibatalkan mulai dari tarikh 1 hb Mei, 1973.

 

KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM,
MALAYSIA

1hb Mei, 1973


mukasurat ii