top1.gif (3251 bytes)

KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

_____________
SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 10 TAHUN 1989
_____________
 

TUNTUTAN ELAUN-ELAUN KERANA BERPINDAH DARI RUMAH SEWA/
SENDIRI/TUMPANGAN KE RUMAH YANG DIBELI MELALUI SKIM
PINJAMAN PERUMAHAN KERAJAAN DAN PERPINDAHAN ATAS
KEADAAN DI LUAR KAWALAN  

1.

TUJUAN

1.1   Tujuan Surat pekeliling Perkhidmatan ini adalah untuk menurunkan kuasa daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kepada Ketua Jabatan yang bererti Pegawai Pengawal satu-satu Kementerian atau Jabatan bagi meluluskan tuntutan elaun-elaun kerana berpindah dari rumah sewa/sendiri/tumpangan ke rumah yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan dan juga perpindahan atas keadaan diluar kawalan.

2.

LATAR BELAKANG

2.1   Pada masa sekarang, Kerajaan ada memberi kemudahan menuntut elaun-elaun kerana berpindah rumah di stesyen yang sama tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti dinyatakan di dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 8/80. Berdasarkan kepada peruntukan di perenggan 7.3 (c) (iv), Pekeliling Perbendaharaan Bil. 8/80, Kerajaan telah memberi kemudahan kepada pegawai-pegawai untuk membuat tuntutan elaun-elaun kerana perpindahan di luar kawalan. Dibawah peraturan yang sama Kerajaan juga memberi kemudahan kepada pegawai untuk menuntut elaun kerana berpindah di dalam stesyen yang sama dari rumah sewa/sendiri/tumpangan ke rumah sendiri yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

2.2   Selaras dengan langkah Kerajaan untuk mempercepatkan lagi proses pentadbiran, Jabatan ini telah memutuskan supaya kelulusan tuntutan elaun-elaun kerana berpindah rumah seperti yang dinyatakan di atas diturunkan kuasa kepada Ketua-ketua Jabatan.

3.

KRITERIA-KRITERIA UNTUK MENIMBANGKAN PERMOHONAN

3.1   Dengan keluarnya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Ketua Jabatan tidak lagi perlu untuk mengemukakan permohonan daripada pegawai dan kakitangan masing-masing ke Jabatan Perkhidmatan Awam bagi mendapatkan kelulusan tuntutan elaun-elaun kerana berpindah dari rumah sewa/sendiri/tumpangan ke rumah sendiri yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan dan juga perpindahan atas keadaan di luar kawalan.

3.2   Ketua-ketua Jabatan adalah dengan ini diberi kuasa untuk meluluskan permohonan-permohonan tuntutan elaun kerana berpindah dari rumah sewa/sendiri/tumpangan ke rumah sendiri yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

(i)

Rumah dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan;

(ii)

Perpindahan dari rumah sewa/sendiri/tumpangan ke rumah sendiri yang dibeli melalui skim pinjaman perumahan Kerajaan adalah di dalam stesyen yang sama. Stesyen yang sama bererti satu lingkungan kawasan 33 km. dari tempat bertugas. Sehubungan dengan itu, pegawai yang membuat tuntutan hendaklah menyatakan alamat dan jarak jauh rumah sewa/sendiri/tumpangan serta rumah sendiri yang baru dibeli ke pejabat tempat bertugas;


mukasurat 1