85.   Kenaikan pangkat adalah berasaskan prestasi cernerlang dalam aspek-aspek penghasilan kerja, sifat-sifat peribadi yang utuh, daya kepimpinan dan berpotensi tinggi.

86.     Pada dasarnya, kenaikan pangkat adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan kecuali bagi perkhidmatan tertentu yang tidak mensyaratkan kekosongan jawatan.

87.     Kenaikan pangkat ini boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu, secara biasa dan luar biasa. Tertakluk kepada perenggan 86 di atas, anggota yang mempunyai prestasi cemerlang dan berpotensi tinggi boleh dinaikkan pangkat secara luar biasa dalam tempoh yang lebih singkat daripada anggota lain yang dinaikkan pangkat secara biasa.

88.    Sebagai kaedah utama untuk mengukur kebolehan, prestasi dan kecekapan anggota, khusus bagi tujuan pergerakan gaji dan lain-lain fungsi pengurusan personel, borang-borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan telah digubal semula supaya lebih objektif. Di antara elemen penting yang diberi penekanan di dalam borang ini ialah aspek penetapan hasil kerja (target setting), keperluan penyeliaan oleh pegawai atasan termasuk memberitahu pencapaian prestasi dan kelemahan pegawai yang diselia. Di samping itu, anggota dalam Kumpulan Sokongan di bawah SSB (khususnya Kumpulan D Laporan JKK 1976) yang sekarang tidak diperuntukkan borang Penilaian Prestasi Tahunan akan disediakan borang penilaian prestasi yang khusus. Satu Pekeliling Perkhidmatan mengenai Sistem Penilaian Prestasi akan disediakan secara berasingan.

Elaun Gabungan Gred

89.    Anggota yang memangku jawatan yang lebih tinggi di bawah Laporan JKK 1976 dan menerima opsyen SSB, layak dibayar Elaun Gabungan Gred (EGG) sekiranya jawatan hakikinya telah digabungkan dengan jawatan yang dipangkunya dalam satu gred di bawah SSB.

90.    Amaun EGG dikira berdasarkan perbezaan di antara gaji pokok hakiki anggota dengan gaji permulaan jawatan yang dipangkunya, setelah diselaraskan kepada gaji MSS pada 1 Januari 1992.

91.    EGG akan dibayar sehingga gaji hakiki anggota mendapat pergerakan ke tangga yang bersamaan dengan matagaji permulaan bagi jawatan yang dipangkunya atau sehingga 31 Disember 1992 mengikut mana yang terdahulu.

FAEDAH-FAEDAH PERSARAAN

Faedah-faedah Persaraan

92.    Pada umumnya, peruntukan-peruntukan di dalam Akta Pencen 1980, Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980, Akta Penghitungan Semula Pencen 1980 dan Akta Penyelarasan Pencen 1980 adalah dikekalkan melainkan sekiranya dipinda selaras dengan hasrat dan matlamat SSB.

Tempoh Perkhidmatan Yang Terputus

93.    Tempoh perkhidmatan yang terputus kerana bercuti tanpa gaji untuk berkursus boleh diambilkira bagi tujuan perkiraan faedah persaraan dengan syarat-syarat seperti berikut:

93.1

anggota yang berkursus telah diberi kelulusan cuti belajar tanpa gaji atau tanpa biasiswa;

93.2

kursus yang diikuti itu berkaitan dengan perkhidmatan; dan

93.3

anggota itu kembali bertugas dengan Kerajaan selepas tamat kursus.

94.    Bagi tempoh perkhidmatan yang terputus atas sebab-sebab yang diizinkan dan diselangi dengan perkhidmatan di sektor swasta sebelum berkhidmat semula dengan Kerajaan, hanya tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan boleh diambilkira untuk tujuan perkiraan faedah   persaraan.

Persaraan Pilihan Sendiri

95.    Anggota sektor awam yang bersara secara pilihan sendiri apabila mencapai umur 40 tahun layak menerima ganjaran perkhidmatan dan bayaran gantian cuti rehat pada tarikh persaraan pilihan sendiri.


mukasurat 13