top1.gif (3251 bytes)

KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA

MALAYSIA

_______________

PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 9 TAHUN 1991
_______________

PELAKSANAAN SISTEM SARAAN BARU
BERDASARKAN LAPORAN JAWATANKUASA KHAS KABINET
MENGENAI GAJI SEKTOR AWAM 1991

TUJUAN

1.  Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru yang melibatkan struktur perkhidmatan yang merangkumi skim-skim perkhidmatan, gaji, elaun, kemudahan, syarat-syarat perkhidmatan dan faedah persaraan bagi semua anggota lantikan tetap sektor awam mulai 1 Januari 1992.

2.   Pekeliling ini juga menjelaskan kaedah pemindahan dan pergerakan gaji di bawah Sistem Saraan Baru.

LATAR BELAKANG

3.   Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Gaji Sektor Awam (JKK-MGSA) 1991 telah mengkaji sistem dan struktur perkhidmatan sektor awam secara menyeluruh dengan tujuan untuk membentuk satu sistem pengurusan personel sektor awam yang boleh meningkatkan keupayaan dan memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menghadapi perubahan dan cabaran persekitaran masa hadapan.

4.   Hasil kajian Jawatankuasa ini yang dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Gaji Sektor Awam 1991 telah diterima oleh Kerajaan. Berdasarkan Laporan itu, Kerajaan telah bersetuju memperkenalkan Sistem Saraan Baru (SSB).

5.   SSB mengutamakan dua unsur penting, iaitu, fleksibiliti dan galakan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan bagi mempercepatkan proses pembangunan negara.

GLOSERI ISTILAH

6.   Beberapa istilah baru berhubung dengan skim-skim perkhidmatan, gaji, elaun, kemudahan dan syarat-syarat perkhidmatan digunakan dalam Pekeliling ini. Tafsiran istilah tersebut adalah seperti di Lampiran A.

STRUKTUR PERKHIDMATAN

7.   Kerajaan telah bersetuju supaya beberapa perubahan dan pengukuhan dibuat kepada struktur perkhidmatan sektor awam mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976 (JKK 1976). Perubahan ini perlu sebagai satu langkah strategik jangka panjang untuk meningkatkan keupayaan sektor awam bagi memainkan peranannya secara cekap dan berkualiti dalam proses pembangunan negara.


mukasurat 1