Kenaikan Pangkat pada Tarikh Kuatkuasa

11.    Apabila seseorang pekerja dinaikkan pangkat mulai daripada tarikh kuatkuasa, maka pemindahan gajinya ke tanggagaji baru hendaklah dilakukan dengan meletakkannya dalam gred kenaikan pangkat dalam tanggagaji sekarang terlebih dahulu dan setelah ditentukan gajinya barulah dipindahkan ke tanggagaji baru menurut kaedah yang ditentukan di perenggan 9 di atas.

Tarikh Kenaikan Pangkat yang Dikebelakangkan

12.    Jika kenaikan pangkat seseorang pekerja berlaku setelah berpindah ke tanggagaji baru di bawah Pekeliling ini, dan kenaikan pangkatnya dikebelakangkan mengikut tarikh yang lebih awal dari tarikh kuatkuasa, maka pemindahan gajinya ke tanggagaji baru pada tarikh kuatkuasa dengan cara sebagaimana yang dihuraikan di perenggan 9 di atas hendaklah berasaskan kepada matagaji dalam tanggagaji bersih sebelum tarikh kuatkuasa yang patut diperolehi dalam jawatan kenaikan pangkatnya. Sebarang tunggakan gaji yang terlibat adalah dikira berasingan bagi tempoh sebelum tarikh kuatkuasa dan selepas tarikh kuatkuasa tanggagaji bersih yang dipinda dengan tarikh kuatkuasanya dikebelakangkan.

Keputusan Pertikaian Anomali

13.    Di dalam keadaan di mana sebarang keputusan oleh Pihak Berkuasa berkenaan di bawah Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977 dibuat dengan tarikh kuatkuasa dikebelakangkan kepada satu tarikh yang lebih awal daripada tarikh kuatkuasa Pekeliling ini, maka pemindahan gaji ke tanggagaji baru di bawah Pekeliling ini hendaklah dipinda berasaskan kepada Kod Gaji yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa yang berkenaan dengan bayaran tunggakan dikira berasingan bagi tempoh sebelum tarikh kuatkuasa dan selepas tarikh kuatkuasa Pekeliling ini.

Keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib

14.    Sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ke atas mana-mana pekerja yang dikenakan tindakan tatatertib jika melibatkan gaji atau pangkat hendaklah ditunaikan sepenuhnya dalam proses pemindahan gaji di bawah Pekeliling ini. Sebagai contoh, jika kenaikan gaji seseorang pekerja itu ditahan atau ditangguh dalam tanggagaji sekarang, maka setelah gajinya berpindah ke tanggagaji baru, maka kenaikan gajinya dalam tanggagaji baru pun hendaklah ditahan atau ditangguh sehingga hukuman itu sempurna.

Elaun-elaun dan Kemudahan-kemudahan

15.    Kadar dan peraturan mengenai pemberian elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1980 hendaklah terus dipakai.

Pembatalan

16.    Dengan kuatkuasanya Pekeliling ini, maka tanggagaji bagi pekerja-pekerja dalam Kumpulan C dan D sebagaimana yang disebutkan dalam Lampiran "A" dan sifir pemindahan gaji di Lampiran "B" kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1980 adalah dengan ini dibatalkan.


mukasurat 3