Tambang Kapalterbang Untuk Melawat Keluarga

9.6    Kemudahan tambang kapalterbang untuk balik atas sebab-sebab belas kasihan untuk melawati ibu bapa atau ibu bapa isteri yang sakit tenat di tempat asal adalah diluluskan menurut syarat-syarat seperti terkandung di dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1970. Kemudahan ini boleh juga dipertimbangkan bagi anak-anak yang tidak turut serta dengan Anggota Pasukan Polis ke tempat bertugas seperti yang dimaksud oleh perenggan kecil 9.5 (2) di atas untuk melawat bapa atau ibu mereka yang sakit tenat dengan syarat penerbangan ini tidak pernah digunakan bagi maksud pemindahan mengikut bapa atau ibu mereka.


Pembatalan Elaun-elaun dan Kemudahan-kemudahan

9.7 (1) Elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan seperti berikut adalah dimansuhkan :

(a) Elaun Pengajar;
(b) Elaun Kecekapan Pelajaran;
(c) Tambang Percuma balik ke kampung;
(d) Tambang Percuma untuk pegawai yang berasal dan berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Elaun Pakaian Seragam

9.8     Elaun Pakaian Seragam sebanyak $250 setahun adalah diluluskan kepada Pegawai Polis Yang Diwartakan. Pembayaran elaun ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :

(a) Pembayarannya adalah atas dasar cukup setahun, dan
(b) Pembayarannya adalah kepada mereka yang dijangka berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan dalam sesuatu tahun.

SEKSYEN IV---FAEDAH-FAEDAH PERSARAAN

Pegawai-pegawai Tetap

10.1    Pegawai-pegawai tetap dan berpencen yang tertakluk di bawah tanggagaji bersih dan syarat-syarat perkhidmatan di dalam Pekeliling ini adalah layak untuk dikurniakan pencen, ganjaran atau lain-lain faedah berkaitan seperti yang dibentangkan dalam Pekeliling ini. Jika Pegawai berkenaan meninggal dunia orang-orang tanggungan mereka boleh ditimbang untuk dikurniakan faedah yang berkaitan seperti yang dibentangkan dalam pekeliling ini dan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. Pengurniaan apa-apa faedah tersebut adalah tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat yang serupa seperti yang terdapat dalam undang-undang pencen yang di pakai sekarang bagi pengurniaan pencen, ganjaran dan lain-lain elaun berhubung dengan perkhidmatan awam (sivil) Kerajaan dengan perubahsuaiannya seperti di dalam Pekeliling ini.


Faedah-faedah Bersara

10.2    Faedah-faedah bersara yang layak dikurniakan kepada pegawai-pegawai berpencen setelah mereka bersara adalah mengandongi dua unsur yang berasingan, iaitu, pencen dan ganjaran. (Oleh yang demikian, keputusan mengenai pemulihan pencen penuh selepas bersara selama 12 1/2 tahun tidak lagi berkenaan bagi pegawai berpencen yang bersara dan menerima pencen di bawah Pekeliling ini).


Faktor Pencen


10.3    Pencen di bawah tanggagaji Bersih Baharu bagi pegawai berpencen yang mempunyai perkhidmatan diambilkira tidak kurang daripada 10 tahun adalah dikira berdasarkan faktor 1/600 daripada gaji akhir bulanan bagi tiap-tiap genap sebulan tempoh perkhidmatan berkenaan dengan syarat tidak melebihi separuh gaji akhir bulanan.


mukasurat 10